Monday, 18 January 2021

Seri Kaya Madu Produk Agromas Kebanggaan FAMA

 

SERI KAYA MADU PRODUK AGROMAS KEBANGGAAN FAMA


Agromas

Penjenamaan Agromas merupakan antara program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang dijalankan untuk membantu usahawan di bawah bimbingannya dari segi pembangunan dan pemasaran produk. Pelbagai produk Agromas kini berada di pasaran yang merangkumi kategori produk sedia untuk dimakan, sedia diminum dan sedia dimasak.



Antara produk-produk berjenama Agromas yang berada di pasaran

SUMBER GAMBAR : Google


Produk : Seri Kaya Madu

Produk Seri Kaya Madu merupakan salah satu daripada produk di bawah jenama ini. Ia mempunyai rasa yang unik dan sedap serta sesuai untuk seisi keluarga. Bahan-bahan yang digunakan dalam menhasilkan produk ini bermutu tinggi dan terpilih. Ia juga diadun mengikut standard pengilangan yang telah ditetapkan. Ia telah berada di pasaran sejak tahun 1995.



Sapuan Seri Kaya Madu Agromas memang sedap dan lazat serta sesuai untuk seisi keluarga

SUMBER GAMBAR : FB FAMA


Oleh itu, satu temu ramah antara penulis dengan kakitangan FAMA yang telah terlibat dalam penghasilan produk ini telah dijalankan. Ia sebagai usaha dalam mendapatkan maklumat bagi penulisan artikel di samping dan mempromosi produk Seri Kaya Madu yang menjadi kebanggaan FAMA ini kepada khalayak ramai.

Encik Redzuan bin Muhammad Shahid (berkaca mata) sedang ditemuramah oleh penulis


Penulis semasa sesi temuramah bersama Pengurus Pusat Memproses Makanan FAMA, Encik Mohd Aris bin Hj Musa


Cetusan Idea

Idea untuk menghasilkan produk Seri Kaya Madu ini mula diilhamkan oleh Encik Abdul Wahid bin Mat Radzi pada penghujung tahun 1994. Pada ketika itu, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah FAMA Johor. Idea ini tercetus berikutan FAMA mempunyai kebun kelapa di Rengit, Batu Pahat, Johor. Di samping itu, kebun tersebut juga menjalankan aktiviti ternakan lebah madu. Menerusi idea penghasilan produk ini, beliau berharap agar dapat mengoptimumkan penggunaan kelapa dan madu tersebut.

Beliau juga telah mengadakan perbincangan Bersama Encik Redzuan bin Muhammad Shahid yang pada ketika itu mengetuai Bahagian Pasar Tani, Hal Ehwal Korporat dan Industri Asas Tani untuk membangunkan produk ini.

Detik Carian Menu dan Teknik Pembuatan Kaya

Sebagai langkah permulaan, Encik Redzuan bin Muhammad Shahid telah bekerjasama dengan Puan Azizah binti Abdul Aziz yang merupakan salah seorang kakitangan FAMA yang meminati bidang masakan. Usaha mereka bermula dengan  mengenal pasti salah seorang pemenang bagi kategori Produk Industri Asas Tani sempena program Hari Peladang dan Penternak Negeri Johor pada tahun 1994.

Puan Azizah dan beberapa orang kakitangan Pusat Memproses Makanan FAMA (PMMF) Rengit telah berkunjung ke rumah pemenang tersebut yang terletak di Pekan Nanas, pontian. Mereka telah mempelajari Teknik dan cara membuat kaya yang dianggap mempunyai rasa terbaik pada ketika itu. Sesi pembelajaran ini berlangsung selama tiga hari.

Setelah masing-masing berpuas hati dengan kualiti kaya yang disediakan, ia diserahkan kepada Pengarah FAMA negeri Johor pada ketika itu untuk diuji rasa. Beliau telah mengutarakan pandangan untuk memberikan nilai tambah terhadap kaya tersebut dengan mencampurkan madu. Ia bukan sahaja mempunyai rasa dan tarikannya yang tersendiri malah berkhasiat.

Selepas melalui beberapa fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta proses menambah baik resipi kaya tersebut, akhirnya terhasil sebuah produk Seri kaya Madu Agromas ini.

Pusat Pemprosesan

Lokasi pemprosesan produk Seri Kaya Madu ini dijalankan di Pusat Memproses Makanan FAMA (PMMF) Rengit yang terletak di KM 36, Sungai Kluang, Rengit, Batu Pahat, Johor.

Menurut Pengurus Kilang PMMF Rengit, Encik Mohd Aris bin Hj Musa, pusat ini mula beroperasi pada tahun 1977 dan menjadi tempat pemprosesan kelapa kopra.

Pada masa kini, pusat ini memfokuskan kepada aktiviti memproses produk-produk Agromas seperti Seri Kaya madu, jem pelbagai perisa, cordial roselle, sirap ros, air minuman ready to drink (RTD) pelbagai perisa, pes makanan dan sebagainya.

Seri kaya Madu merupakan produk utama yang dikeluarkan oleh PMMF Rengit. Penghasilan produk ini adalah dianggarkan sebanyak 2,000 karton sebulan iaitu bersamaan 48,000 botol.

 

Proses Penghasilan, Pelabelan dan Pembungkusan

Pada peringkat permulaan, ia dihasilkan secara manual dengan menggunakan kuali,. Setelah itu, kaedah ini ditambah baik dengan penggunaan mesin bagi meningkatkan kecekapan pengeluarannya.

Antara proses menghasilkan produk Seri Kaya madu secara ringkas :

  • 1.    Menerima bahan mentah daripada pembekal.
  • 2.    Membersihkan bahan mentah.
  • 3.    Menyediakan bahan mentah mengikut sukatan yang telah ditetapkan.
  • 4.    Membuat dan memasak adunan ramuan.
  • 5.    Mensterilkan botol bagi menjamin kebersihan produk.
  • 6.    Menyejukkan adunan dan memasukkannya ke dalam botol.
  • 7.    Menjalankan proses pembungkusan dan pengedaran produk ke pasaran.

Pada peringkat awal, reka bentuk bagi pelabelan dan pembungkusan produk ini telah dibuat oleh Encik Redzuan bin Muhammad Shahid dengan bantuan dua orang kakitangan FAMA lain iaitu Encik Ramli bin Ahmad dan Encik Hamdan bin Ismail. Pelabelan dan pembungkusan yang menarik dan sesuai amat penting dalam memantapkan lagi pasaran produk ini.

Antara reka bentuk label dan pembungkusan yang pernah digunakan pada produk sapuan Seri Kaya Madu


Pasaran Produk secara Komersial

Produk Seri Kaya Madu mula dipasarkan secara komersial pada tahun 1995. Pasaran utama produk ini ialah di pasaran tempatan seperti di pasar raya Speedmart, Giant, kedai runcit dan outlet FAMA.

Antara negara yang menjadi destinasi pemasaran produk ini adalah seperti Singapura, Brunei dan Korea. Beberapa negara yang berpotensi untuk dieksport produk ini seperti Indonesia, China dan Moscow. Proses uji rasa telah dijalankan terhadap negara-negara tersebut dan mereka memberikan respons yang positif untuk menjalinkan Kerjasama dalam memasarkan produk ini ke negara tersebut.

Pihak FAMA juga pernah menerima tempahan khas produk ini daripada Syarikat Penerbangan MAS Airline untuk dihidangkan kepada pelanggan mereka.

Cabaran

  1. 1.   Jaminan Kualiti

·         Produk ini mudah terkena serangan kulat kerana tiada bahan pengawet.

·         Kebersihan perlu dititik beratkan dalam pembuatan produk ini.

 

  1. 2.    Kos Bahan Mentah

·  Pihak kilang perlu menguruskan kos operasi secara optimum bagi menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan.

 

  1. 3.    Mengekalkan Standard

·   Menurut Pengurus PMMF Rengit, buat masa ini produk ini tidak boleh dipelbagaikan jenis perisanya kerana pewarna tiruan perlu digunakan.


Penarafan Kilang

Produk Seri Kaya Madu ini mula berkembang pesat pada tahun 1997 dan menjadi produk utama yang dikeluarkan oleh PMMF Rengit. Kilang tersebut juga telah dikurniakan penarafan International Organization for Standardization (ISO) dan merupakan kilang pertama FAMA yang menerima penarafan tersebut pada masa itu. Sempena penganugerahan penarafan tersebut, produk Seri Kaya Madu Agromas mula dilancarkan secara rasminya.

Keadaan di dalam kilang memproses produk Seri Kaya Madu

Keistimewaan

  1. 1.    Penggunaan Bahan Segar

·         Bahan utana yang digunakan seperti kelapa, telur, madu dan gula dijamin segar dan terpilih dalam pembuatan produk.

  1. 2.    Kandungan Produk

·         Tiada bahan pengawet

·         Tiada bahan pewarna tiruan

·         Tiada bahan perasa tiruan

 

  1. 3.    Sistem Kualiti Kilang

·         Pembuatan produk mengikut standard ISO.

·         Pensijilan Halal JAKIM.


Cara Mendapatkan Produk

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan produk Seri kaya Madu Agromas ini boleh didapati di pasar raya terpilih dan outlet FAMA. Selain itu, pembelian produk secara atas talian juga boleh dibuat di laman sesawang Agrobazaar online, Lazada dan Shopee.


Pembelian kini lebih mudah hanya di hujung jari!

SUMBER GAMBAR : Agrobazaar Online


Kesimpulan

Produk Seri Kaya Madu Agromas bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada FAMA, malah turut menjadi buah hati kepada masyarakat Johor. Ini kerana ia merupakan produk terawal dikeluarkan oleh FAMA menerusi jenama Agromas yang telah diilhamkan di negeri Johor pada suatu ketika dahulu. Kini ia cukup sinonim dalam penggunaan seisi keluarga.


Sumber rujukan :

1)Encik Redzuan Bin Muhammad Shahid (Pesara FAMA yang bertanggungjawab membangunkan Produk Seri Kaya Agromas)

2)Encik Mohd Aris Bin Hj Musa (Pengurus Pusat Memproses Makanan FAMA (PMMF) Rengit)

3)FAMA Malaysia


Catatan : 
Artikel ini dipetik dari Majalah Tinjauan terbitan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Edisi 1/2019.


Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021

  SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN TAHUN BARU CINA 2021 YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri d...